04 March 2009

KERATAN AKHBAR

'Kerajaan Pasir Dua Butir' di Perak imbau jenaka P. Ramlee
Oleh SITI MARIAM MD. ZAINutusanperak@utusan.com.my

BERSIDANG di bawah pokok! Jika sebelum ini ia hanya menjadi bahan lawak, pakatan pembangkang menjadikannya satu realiti.

Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dipengerusikan Speaker, V. Sivakumar yang dirancang diadakan di Bangunan Perak Darul Ridzuan akhirnya berlangsung di bawah pokok berhampiran kawasan letak kereta kira-kira 100 meter daripada bangunan tersebut.

Kedegilan pemimpin pembangkang mengadakan sidang itu walaupun dilarang pihak polis menggambarkan sikap sebenar mereka yang langsung tidak mempedulikan kedaulatan undang-undang.

Doa dibacakan oleh Setiausaha Dewan, Misbahul Munir Masduki yang baru sehari dilantik. Ia juga menandakan sidang di bawah pokok bermula.

Apa yang berlaku ini bukan lagi perkara pelik dalam senario politik negara sekarang, lebih-lebih lagi membabitkan parti pembangkang.

Jika tujuan mereka mahu membubarkan DUN selain menyokong kedudukan Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah, itu boleh dilakukan di mahkamah.

Namun mereka memilih untuk melakukan provokasi. Tujuannya untuk menguji sejauh mana pihak polis akan bertindak ke atas mereka.

Jika berjaya, ini akan dijadikan pula 'modal' politik bagi meraih undi menjelang pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang, Perak 7 April ini.

Tidak sukar lagi untuk menjangka taktik dan strategi golongan ini. Kesanggupan mereka berdepan dengan sebarang kemungkinan selama ini telah terbukti menjadi 'azimat' dalam usaha meraih simpati masyarakat.

Tidak mustahil 'kelembutan' pihak polis mengambil tindakan ke atas kumpulan-kumpulan begini menyebabkan mereka 'lebih berkuasa daripada pihak berkuasa.'

Walaupun sedar menjalankan sidang di bawah pokok tidak akan mengubah apa-apa keputusan sebelum ini, apatah lagi hak untuk membubarkan DUN terletak di bawah kuasa Sultan tetapi matlamat mereka hanyalah 'untuk menarik perhatian.'

Justeru, mereka memilih untuk 'memalukan' negara menerusi tindakan-tindakan luar biasa dan kenyataan-kenyataan kesat di kain rentang.

Hakikatnya, pakatan pembangkang telah diberi kesempatan untuk mentadbir Perak selama 11 bulan sebelum ini. Dalam tempoh itu, mereka sepatutnya dapat membuktikan kemampuan yang ada untuk melakukan segala kebajikan dan kebaikan untuk masa depan rakyat.

Malangnya, tiada apa yang boleh dibanggakan lebih-lebih lagi oleh masyarakat Melayu tentang apa yang telah dilaksanakan oleh bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin.

Lebih malang, Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak itu sanggup menjadi 'kuda tunggangan' sekutunya DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk mencapai maksud politik mereka yang terselindung selama ini.

Negara kini berhadapan dengan cabaran ekonomi. Bagi pemimpin yang waras akal fikirannya, ini sewajarnya dijadikan fokus utama mereka dalam mencari jalan atau ruang ke arah mengurangkan beban rakyat.

Maknanya, jika pemimpin itu sama ada mewakili kerajaan atau pembangkang berjiwa murni dan ikhlas untuk membantu rakyat, mereka tidak akan sanggup melakukan tindakan yang menyusahkan rakyat.

Jika Allahyarham Tan Sri P. Ramlee masih hidup, beliau pasti tertawa melihat babak jenaka ketua hilang kuasa yang diselitkan dalam filem arahan terakhirnya, Laksamana Do Re Mi.
Antara babak menarik dalam filem itu ialah tentang persidangan negeri Pasir Dua Butir yang terpaksa berlangsung di bawah pokok dalam kawasan lapang akhirnya benar-benar menjadi realiti dalam senario politik Perak.

1 comment:

  1. teringat masa kecik dulu, masa kanok2, kita pun main pondok2 bawah pokok juga. tapi tak lah sampai ada kerajaan. ini bukan dua butir je, dah bebutir2.

    selanjutnya masuk ke zeman machanggelap.blogspot.com

    ReplyDelete